GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat seperti dijadualkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada 2020.

Unit Komunikasi Korporat KPM dalam satu kenyataan berkata, ia mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami, selain tidak membebankan murid serta guru.

Menurutnya, pihaknya mengambil maklum pelbagai maklum balas yang diterima terhadap isu berkenaan.

“Perancangan pengenalan tulisan khat ini sudah dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak 2014.

“Usaha ini juga melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar bahasa dan pendidikan.

“Pengenalan tulisan khat ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tulisan khat adalah warisan bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari.

“Ia sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

“Selain daripada itu, tulisan ini juga terdapat pada jata negara, jata negeri-negeri dan wang kertas Ringgit Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, KPM komited untuk bersama-sama membina Malaysia yang memiliki persefahaman dan pengetahuan kukuh terhadap warisan kebangsaan.

Terdahulu, media melaporkan 138 pemimpin akar umbi termasuk 13 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menggesa Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat untuk sekolah vernakular melalui satu kenyataan bersama.

Kumpulan itu berkata, pihaknya mengakui tulisan khat mempunyai nilai artistik, namun orang ramai harus digalakkan untuk menghargainya sendiri dan bukan untuk dijadikan sebagai dasar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 9:33 PM