Tiga lelaki dan kereta serta barang yang dirampas polis hasil penahanan suspek di pekan Bukit Mertajam dan Machang Bubok, Bukit Mertajam pada 25 Julai lalu. Foto Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


TIGA lelaki geng curi kereta ditahan polis dalam serbuan di sekitar Bukit Mertajam, pada 25 Julai lalu.

Dalam serbuan 8 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah menahan kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun di sekitar pekan Bukit Mertajam dan Machang Bubok.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil penahanan mereka itu berjaya membantu polis menemui semula dua kereta Honda City dan Proton Wira yang dilaporkan hilang pada tahun ini.

Menurutnya, geng itu berjaya dikenal pasti susulan daripada satu kejadian curi kereta pada awal bulan lalu.

“Dalam kejadian itu, seorang lelaki mendapati Proton Wira milik adiknya yang parkir di sebuah kondominium hilang dipercayai dicuri.

“Hasil risikan membawa kepada penahanan kesemua mereka yang sebahagiannya mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek pertama mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah, suspek kedua pula mempunyai tujuh rekod jenayah dan tiga rekod dadah, manakala suspek ketiga mempunyai enam rekod jenayah serta tiga rekod dadah.

Katanya, suspek yang ditahan itu dipercayai terbabit dalam beberapa lagi kejadian curi kereta dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 6:41 PM