FAZLISYAM bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 95 gambar individu yang dikehendaki kerana jenayah komersial, hari ini. FOTO Sairien Nafis.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


POLIS Selangor sedang mengesan 95 individu bagi membantu siasatan jenayah komersial yang berlaku di negeri itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, semua individu itu dipercayai terbabit 95 kes dengan kerugian dianggarkan RM4 juta.

Katanya, mereka berusia antara 20 hingga 60-an dan ada antaranya menetap di luar negeri.

“Daripada jumlah itu, 62 orang adalah lelaki dan membabitkan pelbagai bangsa. Sebanyak 85 kes adalah penipuan, manakala 10 kes adalah pecah amanah.

“Semua gambar individu ini akan dipaparkan di dalam akaun rasmi Facebook Polis Selangor hari ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Fazlisyam berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, 2,517 kes jenayah komersial direkodkan dengan kerugian RM489 juta.

“Semua pihak diminta berhati-hati apabila menjalankan sebarang urus niaga dan transaksi bagi mengelak menjadi mangsa, malah kita juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu disyaki menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 2:48 PM