PENGUAT KUASA memeriksa alat penimbang buah sawit dalam operasi di Kulim, semalam. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


DEMI mengaut keuntungan mudah, peniaga di Kulim dikesan mengubah suai alat penimbang untuk membeli buah sawit.

Aktiviti itu terbongkar selepas operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia Wilayah Utara (MPOB) dan Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd Cawangan Seberang Jaya (MCM), semalam.

Ketua Cawangan KPDNHEP Kulim Mohd Fazly Edros berkata, 10 anggota terbabit operasi itu dan ujian ketepatan timbangan dibuat segera serta mendapati berat Alat Timbang Kenderaan (ATK) di premis peniaga itu tidak tepat.

Katanya, ia melebihi had selisih yang dibenarkan.

“Peniaga disyaki membuat perubahan pada mesin penimbang sehingga bacaan alat berkenaan tidak betul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesalahan disiasat mengikut Seksyen 20A (1) (e) Akta Timbang & Sukat 1972 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM40,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Sehingga kini lapan premis perniagaan di Kulim yang membeli buah sawit bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fazly mengingatkan, semua premis perniagaan kelapa sawit perlu menggunakan mesin penimbang kenderaan yang sudah ditentusahkan sekali gus tidak menindas penanam kelapa sawit.

Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian WhatsApp kementerian di 019-279 4317 atau menggunakan talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 03-8882 6245/6088 selain beberapa saluran lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 11:26 AM