ROKOK yang dirampas dalam serbuan itu. FOTO Ihsan PPM
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) merampas rokok disyaki tidak bercukai kastam bernilai RM19,660.20 dalam serbuan di sebuah rumah di FELDA Tenggaroh, Jemaluang, Mersing.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan yang juga peneroka FELDA berusia 60 tahun bersama 151 karton rokok dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, Rabu lalu itu.

“Serbuan itu dijalankan seorang pegawai dan 10 anggota Unit Risikan Marin PPM Wilayah Dua Mersing, Pengerang dan Markas PPM Johor menerusi Op Landai.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis terbabit turut menemui sejumlah rokok disyaki rokok tidak bercukai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan susulan, PPM menjumpai rokok tidak bercukai kastam di simpan di dalam kotak berwarna coklat di kawasan bilik air.

“Tangkapan dan rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing untuk proses dokumentasi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 10:26 AM