TAN Sri Lee Lam Thye. FOTO Arkib NSTP.
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


AMALAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di semua tempat kerja perlu diberi tumpuan dalam usaha memerangi rasuah.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, usaha itu boleh dicapai menggunakan konsep integriti iaitu etika, kejujuran dan akhlak.

Menurutnya, mereka yang bertindak dengan penuh berintegriti akan sentiasa bertanggungjawab, telus dan boleh dipercayai di tempat kerja.

“Penjawat awam, pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mereka dari sektor korporat harus sentiasa menjaga integriti dan mengelakkan amalan rasuah.

“Integriti mestilah ditanam apabila seseorang individu menyertai organisasi supaya ia akan menjadi sebahagian daripada identiti mereka.

“Jika seseorang bertindak dengan penuh integriti, dia akan melakukan perkara betul walaupun tidak ada penontonnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Lee berkata, hanya kejujuran, integriti dan moral dapat membantu menangani masalah penipuan selain mencegah amalan rasuah.

Beliau berkata, walaupun usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memerangi rasuah dialu-alukan, jelas perjuangan harus bermula di semua tempat kerja.

“Rasuah di Malaysia berada pada tahap membimbangkan dan tindakan perlu dipergiatkan untuk menangani ancaman ini dalam masyarakat kita.

“Tidak kira dalam apa jua bentuk, ia tidak boleh diterima kerana ia memusnahkan negara, menyebabkan kesusahan kepada rakyat dan menjadikan ekonomi merosot,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 11:58 PM