Antara peralatan yang dirampas daripada penjenayah terbabit. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


PENJENAYAH yang terbabit dalam beberapa kes pecah rumah tumpas selepas ditahan polis dalam Ops Pecah Rumah dan Samun di kawasan Sungai Way, Petaling Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek berusia 30-an itu ditahan di belakang Flat Impian Baiduri pada 7.30 malam.

Katanya, siasatan awal suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes pecah rumah bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas di sekitar Sungai Way.

“Suspek juga memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan dadah.

“Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan suspek dalam jenayah jalanan terutama membabitkan kes pecah rumah di daerah ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zani berkata, polis juga sedang mengesan rakan suspek bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 8:07 PM