Jamal mengharapkan ada pihak menghulurkan bantuan kepada Pengasih. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


“SAYA ada melawat kawan yang menguruskan pentadbiran Pengasih ini dan berjumpa dengan presidennya.

“Mereka nampak buntu dengan persediaan kewangan untuk membiayai rumah itu yang dipindahkan ke Bentong.

“Diharap kerajaan atau sesiapa juga menghulurkan bantuan demi kelangsungan pertubuhan ini,” kata Raja Pop Datuk Jamal Abdillah.

Katanya, sebagai anggota masyarakat, orang ramai harus membantu pusat seperti Pengasih yang terbukti membantu memulihkan penagih selama ini bagi membolehkan operasi di situ berjalan seperti biasa biarpun di tempat baru.

“Di sini bukan tempat pemulihan yang dijadikan satu perniagaan, untuk kepentingan diri bukan juga meraih populariti,” katanya.


Laporan portal berita Harian Metro semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini Rabu lalu mengenai rayuan Presiden Pengasih Ramli Abdul Samad yang memohon sumbangan orang ramai dan syarikat korporat bagi membolehkan kompleks Rawatan dan Pemulihan di Cinta Manis Bentong disiapkan sepenuhnya.

Ini kerana mereka kesuntukan masa untuk memastikan kemudahan di situ dapat diduduki memandangkan beberapa infrastruktur yang masih belum lengkap seperti masjid, klinik dan dewan serbaguna di kawasan seluas 5.6 hektar itu.

Buat masa ini, Pengasih masih dalam perancangan mengadakan makan malam amal dijadualkan Oktober ini serta menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak untuk memastikan dana RM8 juta berjaya dikumpul dalam tempoh ditetapkan.

Jamal pernah menghuni Pengasih selama lima tahun sebelum meninggalkan rumah berkenaan pada 2011.

Selain itu, penyanyi Radhi OAG dan Zamani Slam juga pernah menjalani pemulihan di sana selama dua tahun manakala Ameng Spring menjadi sukarelawan di situ sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Radhi berkata, dia akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membantu Pengasih mengumpul dana termasuk menjayakan persembahan amal kerana banyak pengalaman baru diperoleh sepanjang berada di situ satu ketika dulu.

“Saya masih ingat bagaimana Pengasih membentuk saya menjadi insan yang menjaga solat, menghormati orang lain selain memulihkan saya daripada ketagihan.

“Malah sampai hari ini saya masih mendapatkan kaunseling daripada kawan-kawan di sana.

“Perpindahan rumah Pengasih di tempat baru satu berita sedih kerana di situlah permulaan hidup baru kepada mereka yang terjebak dengan penagihan.

“Saya doakan di tempat baru nanti, semuanya kekal sama seperti di sini (Kuala Lumpur) malah jauh lebih baik,” katanya.

Radhi berkata, hanya mereka yang pernah mendapatkan rawatan di Pengasih memahami betapa pusat berkenaan bukan saja merawat malah menjadi institusi keluarga kepada mereka terutama yang menghadapi masalah dibuang keluarga.

Menurutnya, dia sendiri selepas ini akan tetap ke Bentong untuk bersama-sama ‘adik beradik’ lain kerana hubungan yang begitu akrab serta keikhlasan bersaudara yang diterapkan di situ begitu Islamik serta menyentuh hati.

“Mungkin selepas ini jauh sikit, kalau di sini, sebulan dalam dua tiga kali tapi di Bentong nanti saya harap dapat bersama-sama dengan mereka lagi,” katanya.

Berita berkaitan

Bantulah Pengasih bina penempatan baru [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 7:03 PM