FOTO Hiasan
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


TINDAKAN lelaki warga Indonesia menyogok pegawai polis dengan wang tunai RM1,000 membawa padah apabila dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Haslan Lahaming, 27, selepas mengaku salah melakukan perbuatan itu 25 Januari lalu di Road Check Point Kalabakan, Tawau.

Menurut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu pada 10.30 malam dengan memberi suapan iaitu wang tunai RM1,000 kepada ejen kerajaan iaitu pegawai polis yang bertugas di Batalion 17 Pasukan Gerakan Am Lahad Datu.

Tertuduh memberikan suapan itu sebagai dorongan untuk pegawai terbabit tidak melakukan perbuatan yang berhubung hal ehwal prinsipnya iaitu melepaskan lori dipandu rakannya yang membawa arak tidak bercukai.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Faliq Basirudin manakala tertuduh diwakili peguam Chin Teck Ming.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini dan jika gagal membayar denda, tertuduh dikenakan penjara tiga bulan.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, pemegang dokumen IMM13 turut dijatuhkan hukuman penjara lima hari dan denda RM10,000 selepas mengaku salah memberi suapan kepada pegawai polis trafik.

Tertuduh, Abdul Mujrimin Mohamad, 24, mengaku melakukan kesalahan itu di Kaunter Aduan Balai Polis Manggatal antara 10.20 malam hingga 10.52 malam, 30 Mei lalu.

Tertuduh didapati memberi rasuah RM300 kepada pegawai polis trafik yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk melepaskan adiknya yang ditahan atas kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

Sehubungan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(b) akta sama.

Mahkamah memerintahkan hukuman dijalankan bermula hari ini dan jika gagal membayar denda, tertuduh dikenakan hukuman penjara sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 3:55 PM