TERTUDUH didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah. FOTO NSTP.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


PENGANGGUR didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan nilai sehingga RM100,000 pada 2015.

Tertuduh Abdul Munif Ali, 52, yang sebelum ini kakitangan awam didakwa atas dua tuduhan meminta rasuah, manakala satu lagi tuduhan menerima suapan bagi membantu mendapatkan kelulusan projek melombong pasir di Perak.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim S Indra Nehru terhadap semua pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Abdul Munif didakwa meminta RM10,000 daripada Rashid Mat Desa, 47, pada 10.30 pagi 2 Februari 2015, kononnya untuk dibayar kepada Suzana Md Nor iaitu Pembantu Khas kepada Pegawai Kewangan Negeri Perak bagi mendapatkan kelulusan projek melombong pasir.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM10,000 pada 6 petang, 4 Februari 2015 bertempat di Old Town White Coffe, Ipoh Garden bagi tujuan sama.

Sementara pertuduhan ketiga, pada tarikh, waktu dan lokasi sama dengan pertuduhan kedua, dia didakwa meminta RM80,000 daripada Nor Azman Hashim, 47, sebagai dorongan kononnya untuk diberikan kepada pegawai Kerajaan Negeri Perak bagi mendapatkan kelulusan projek melombong pasir.

Semua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdihana Rosdi, manakala tertuduh diwakili peguam Mohammad Salihen Mastor.

Terdahulu, Nurdihana menawarkan jaminan RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin kepada tertuduh, namun Mohammad Salihen merayu dikenakan jaminan RM5,000 kepada anak guamnya mengambil kira tertuduh sudah tidak bekerja dan perlu menanggung isteri, lima anak yang masih bersekolah dan ibu berusia 84 tahun.

Indra Nehru kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Beliau juga menetapkan 4 September depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 3:33 PM