FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


LIMA individu warga Bangladesh, termasuk seorang wanita didakwa di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas 11 pertuduhan memperdagangkan 11 rakan senegara bagi tujuan pelacuran di sekitar ibu kota, awal bulan lalu.

Bagaimanapun, kesemua lima tertuduh, Md Kabir, 37, Md Razon Ahmed, 22, Pranto Pik, 23, Abu Bakar Siddique, 20, dan Selina Begum, 39, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad dan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan semua pertuduhan itu, mereka didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan mencapai niat bersama memperdagangkan 11 wanita berusia 20 hingga 40 tahun bagi maksud eksploitasi seks.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah premis berbeza di Jalan Yap Ah Loy dan Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur, jam 10.40 pagi, pada 4 Julai lalu.

Dakwaan kes ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan penjara 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Kirubini tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesemua tertuduh adalah warga asing.

Kesemua tertuduh lelaki yang diwakili peguam P Muniswer tidak membuat sebarang bantahan berhubung tidak ditawarkan jaminan.

Bagaimanapun, Selena Begum tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada semua tertuduh dan kemudian menetapkan 15 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 2:50 PM