Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


BELUM ada negeri yang meluluskan perisytiharan harta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka seperti dilakukan peringkat Persekutuan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata, pihaknya juga mengenal pasti negeri yang mahu beri komitmen untuk melaksanakan perisytiharan itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya mahu melihat kesungguhan yang sebenarnya daripada kerajaan negeri demi pentadbiran yang lebih telus.

“Ada negeri yang beritahu kami mereka akan (komited) ke arah itu (perisytiharan harta) tapi mereka belum lagi meluluskan perkara itu kerana ada banyak ‘versi’ komitmen.

“Kita perlu tengok bagaimana, sama ada itu cara betul ke mahu laksana atau hanya ‘PR’ (jaga hubungan) sahaja.

“Ia perlu ‘real’ (laksana), tak boleh umum sahaja tapi akhirnya tak nampak kerana kita mahu mereka komited,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Melaka Tolak Rasuah Peringkat Negeri Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2019 di Menara Taming Sari, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dan Pengarah SPRM negeri Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail.

Mengulas lanjut, Latheefa yang tidak mendedahkan negeri dimaksudkan berkata, perisytiharan harta itu penting kerana menjadi satu-satunya cara untuk menunjukkan komitmen negeri memerangi rasuah sekali gus memastikan urus tadbir yang lebih telus.

“Terpulang pada kerajaan negeri bagaimana mereka ingin mengisytiharkan harta, seperti di peringkat Parlimen, Kerajaan Persekutuan mereka telah pun mengambil satu usul untuk diluluskan.

“Sebab itu, kita sekarang bergerak dari satu negeri ke satu negeri untuk berbincang dengan mereka supaya menerima tindakan ini (perisytiharan harta).

“Ada banyak cara lain untuk mencegah rasuah, uruskan rasuah dalam kalangan penjawat awam tapi perisytiharan harta itu kita nak dia tahu yang dia sentiasa dalam pemantauan kami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Latheefa berkata sehingga Julai ini, SPRM menerima 137 aduan mengenai salah laku rasuah dan 32 daripadanya telah dibuka kertas siasatan.

“Daripada jumlah itu, 42 lagi dimulakan kertas pemeriksaan awal (KPA) manakala 17 tangkapan telah dibuat membabitkan 13 penjawat awam dan empat orang awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 2:30 PM
LATHEEFA menunjukkan maklumat '8 Cara Laporkan Rasuah' pada Program Melaka Tolak Rasuah, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.