Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


AINUL Mardhiah Ahmad Safiuddin masih menyesuaikan diri di tanah air selepas dua bulan berada di United Kingdom.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, semalam berkongsi perkembangan terkini anaknya yang masih menerima rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, bayi berkenaan tidur siang selepas penat berjaga dan bermain pada waktu malam.

“Budak ni lah yang pukul 12 malam semalam sampai 5 pagi tak nak tidur. Dia main sorang-sorang (seorang diri).

“Dah siang ni baru nak tidur. Walid kacau suruh dia bangun, dia marah. Muka tu dah penuh air liur basi. Hisap jari lepas tu pi sapu satu muka,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, semalam.


GAMBAR terkini Ainul yang dimuat naik di laman Facebook milik Ahmad Safiuddin. FOTO Facebook

Hantaran bersama sekeping foto anaknya itu mendapat reaksi positif netizen yang sentiasa mengikuti perkembangan bayi itu.

Setakat petang semalam, hantaran itu dikongsi lebih 850 perkongsian dan mendapat lebih 15,000 tanda suka.

Ainul Mardhiah yang menghidap ‘Germ Cell tumor’ seberat 200 gram pada mulutnya, selamat menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di London, 10 Jun lalu.

Bayi berkenaan dan ibu bapanya selamat kembali ke negara ini Isnin lalu, selepas dua bulan menetap di London sejak 24 Mei lalu bagi menjalani pembedahan dan rawatan.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 10:00 PM