KEBAKARAN belukar dipercayai dari tempat pembuangan sampah haram di Jalan Pantai Remis berhampiran UniKL MIMET. FOTO IHSAN BOMBA.
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


BOMBA mengambil masa empat jam memadam kebakaran belukar dipercayai menjadi tempat pembuangan sampah haram di Jalan Pantai Remis berhampiran Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET), Sitiawan, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.07 petang sebelum sembilan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kebakaran itu membabitkan kawasan belukar berkeluasan 1.6 hektar dan terdapat pelbagai barangan seperti perabot lama, bahan binaan dan sampah sarap.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba memulakan operasi mengawal dan memadamkan kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.

“Bomba mengambil masa empat jam memadam sepenuhnya kebakaran sebelum operasi tamat pada jam 5.50 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaki berkata, pasukannya juga mengalami sedikit kesukaran memasuki kawasan belukar itu selain perlu berhati-hati dengan haiwan berbisa.

Katanya, orang ramai diminta tidak membuang sampah di kawasan berkenaan selain tidak melakukan pembakaran secara terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 8:27 PM