PENGUNJUNG memanfaatkan cuti umum berkunjung ke HLUB sempena sambutan Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, semalam. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


HUTAN Lipur Ulu Bendul (HLUB) di sini menjadi antara lokasi tumpuan orang ramai beriadah pada cuti umum sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong semalam.

Difahamkan, 5,000 pengunjung mengunjungi pusat rekreasi terkenal itu.

Tinjauan di semua kawasan laluan kaki Gunung Angsi itu dipenuhi orang ramai yang datang bersama keluarga masing-masing.

Malah, kolam mandi yang disediakan Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) berhampiran tempat letak kereta itu kelihatan penuh sejak awal pagi.

Pengunjung dari Damansara, Kuala Lumpur, Siti Fatimah Zainol, 30, berkata, dia datang bersama empat ahli keluarga untuk menikmati keindahan flora dan fauna di HRUB.

“Masa cuti memberi peluang kami untuk bersantai bersama ahli keluarga dan saya memilih Ulu Bendul kerana mudah untuk datang ke sini selain kawasannya yang menarik dan terlindung.

“Kemudahan disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti wakaf, tandas dan surau sangat selesa.

“Bagaimanapun, saya berharap PBT terbabit menurap jalan masuk yang rosak,” katanya.

Nurfaizah Abdul Aziz, 33, dari Bangi, Selangor memilih HLUB kerana kedinginan airnya selain kawasan yang sesuai untuk bersantai bersama keluarga.

“HLUB dikenali ramai dan saya gunakan cuti hari ini (semalam) untuk bersantai bersama keluarga,” katanya yang datang bersama lima ahli keluarga.

HLUB menjadi tarikan disebabkan mempunyai sungai yang sesuai untuk aktiviti riadah pelbagai peringkat umur selain dilengkapi kolam mandi yang sesuai untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.

Kedudukannya di pinggir Hutan Simpan Angsi, bersebelahan jalan utama Seremban-Kuala Pilah, menjadikannya unik kerana boleh diakses semua kenderaan.

Selain pengunjung yang datang untuk bersantai, kawasan itu menjadi tumpuan ramai pendaki Gunung Angsi setinggi 825 meter dari aras laut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 6:30 AM