ANTARA petugas media lengkap berpakaian istiadat ketika membuat liputan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara. FOTO BERNAMA
BERNAMA

ISTIADAT Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, hari ini, bukan sahaja bersejarah kepada negara tetapi turut meninggalkan pengalaman unik bagi petugas media.

Ini kerana buat pertama kalinya petugas media rasmi termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan serta media lain yang membuat liputan acara itu diwajibkan mengenakan persalinan istiadat.

Berdasar tata etika pemakaian itu, kira-kira 200 petugas media terutama lelaki tampil segak mengenakan persalinan istiadat terdiri daripada Baju Melayu hitam, bertanjak, bersampin dan berbengkung serta lengkap dengan keris dipinggang.

Petugas wanita pula wajib berbaju kebangsaan lengkap berselendang di bahu kanan.

Wartawan Pusat Berita Multimedia BERNAMA, Muhammad Faiz Baharin yang pertama kali terbabit dalam liputan acara bersejarah secara peribadi teruja mengenakan pakaian istiadat.

“Bila mengenakan persalinan istiadat ini memberi lebih semangat kepada saya untuk bertugas hari ini.

“Malah ia melambangkan kesenian dan kebesaran adat Melayu dalam upacara dan istiadat sebegini,” katanya di Istana Negara, hari ini.

Sementara itu, Wartawan Penyiaran Media Prima Bhd (MPB), Raza Syazani Muhammad, mengakui mengenakan persalinan itu adalah satu penghormatan selain simbolik meraikan Seri Paduka ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Bukan mudah dapat mengenakan persalinan seperti ini, lebih-lebih lagi dalam acara penuh istiadat sebegini.

“Berpakaian seperti ini melambangkan ketinggian budaya dan adat Melayu selain sebagai antara cara kita menzahirkan sembah tahniah kepada Seri Paduka,” katanya.

Hari ini, Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan rakyat dan masyarakat luar negara apabila Sultan Abdullah secara rasminya ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang akan memerintah untuk tempoh lima tahun.

Seri Paduka dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, 24 Januari lalu.

Seri Paduka melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 9:30 PM