Pemandu e-hailing ketika mengambil penumpang di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. Foto Arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetrop.com.my


MALAYSIA E-hailing Drivers Association (MEHDA) menggesa kerajaan supaya melaksanakan kadar tambang lantai terhadap perkhidmatan pengangkutan itu bagi melindungi kebajikan dan periuk nasi lebih 167,000 pemandu di seluruh negara.

Presiden MEHDA Daryl Chong berkata, ia kerana pemandu e-hailing kian terdesak kerana kadar tambang semakin tidak menentu ekoran persaingan dari beberapa pengusaha perkhidmatan itu.

Menurutnya, persaingan harga itu walaupun menguntungkan pengguna tetapi sebaliknya membebankan pemandu e-hailing yang perlu menanggung kos minyak, tol, penyelenggaraan dan sebagainya.

“Kami bukan mahu meminta kadar tambang dinaikkan sebaliknya mahu ia setara atau tidak terlalu jauh daripada perkhidmatan teksi biasa.

“Sebagai contoh, sebelum ini tambang perjalanan perkhidmatan e-hailing ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah RM90 sebelum jatuh ke RM65.

“Namun, sejak adanya beberapa pengusaha baharu, tambang terus menjunam sehingga RM59 sehala.

“Jika tidak dikawal, kadang tambang mungkin boleh jatuh sehingga RM30 sehala dan keadaan itu boleh membebankan pemandu e-hailing,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Daryl, ketika e-hailing baru diperkenalkan, pendapatan pemandu perkhidmatan itu boleh mencecah sehingga RM6,000 sebulan tetapi kini untuk mendapatkan separuh daripada itu sudah semakin sukar.

Katanya, setiap tambang yang dibayar penumpang bukan 100 peratus milik pemandu kerana mereka masih perlu membayar caj sehingga 20 peratus kepada syarikat pengusaha.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini, pemandu terutama yang sepenuh masa terpaksa meneruskan perkhidmatan kerana mereka memerlukan pendapatan untuk menyara kehidupan harian.

“Suka atau tidak, mereka (pemandu) terpaksa lalui kerana tidak mempunyai pilihan pekerjaan lain.

“Jadi, kami harap kerajaan mempertimbangkan keadaan pemandu dan jangan meminggirkan kami kerana kami juga adalah rakyat yang memerlukan pembelaan,” katanya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam kenyataannya sebelum ini berkata, kerajaan tidak akan mencampuri pasaran e-hailing kerana peranan kerajaan hanya untuk memantau dan memastikan kadar tambang kekal munasabah.

Selain itu, Loke menyatakan kerajaan juga akan memastikan kadar tambang e-hailing kekal munasabah walaupun beberapa persatuan e-hailing mendakwa ia akan naik sebaik tempoh pemandu memohon Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 5:24 PM