TENGKU Puteri Jihan (tengah) di Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini. FOTO BERNAMA.
BERNAMA

BUSANA putih gading yang disarung Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, hari ini mencuri tumpuan tetamu.

Ia mengingatkan kembali nostalgia semasa pertabalan nendanya, 35 tahun dahulu.

Penampilan anggun puteri bongsu kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu, turut menjadi tumpuan lensa kamera yang merakam detik bersejarah berkenaan.

Persalinan dikenakan Tengku Puteri Jihan diperbuat daripada satin Dutch bersulam renda Perancis, merupakan persalinan bondanya, Tunku Azizah ketika menyaksikan pertabalan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada November 1984.

TENGKU Puteri Jihan (dua dari kanan) bersama kekanda-kekandanya berangkat pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara hari ini. FOTO BERNAMA.

Ketika ditemui Bernama selepas selesai istiadat pertabalan, Tengku Puteri Jihan, 17, berkata, beliau bangga dan selesa mengenakan baju kurung milik bondanya yang mempunyai nostalgia tersendiri.

“Saya rasa bangga. Menurut bonda, kain (baju kurung) ini dibeli di London. Bonda pakai semasa berumur 23 tahun. Perlu besarkan sedikit sahaja di bahagian pinggang,” katanya.

Pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim yang berpengalaman 15 tahun sebagai ‘tukang jahit’ busana Tunku Azizah dan semua anakanda baginda, diberi tanggungjawab mengubah suai saiz baju kurung Tunku Azizah itu untuk disesuaikan dengan saiz pinggang Tengku Puteri Jihan.

Istiadat yang berlangsung gilang-gemilang, penuh tradisi Raja-Raja Melayu itu secara rasmi menandakan pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 4:26 PM