SYED Saleh (tengah) bersama jemaah haji memegang bahan kempen selepas majlis pelancaran Kempen Kebersihan Maktab. FOTO Yusri Abdul Malek
Yusri Abdul Malek
yusrimalek@hmetro.com.my


BERTEMA ‘Kebersihan Mencerminkan Kemakburan Haji’, satu kempen kebersihan maktab dilancarkan bagi meningkatkan tahap kebersihan dalam kalangan jemaah haji.

Kempen sama pernah diadakan tahun lalu tetapi dibuat dalam operasi masyair di Arafah, Mudzlifah dan Mina sehingga mendapat pujian Menteri Haji Arab Saudi.

Konsep gotong-royong yang diterapkan itu mendapat kerjasama baik dalam kalangan jemaah, Tabung Haji (TH) dan muasassah.

Ketua Rombongan Haji Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kebersihan di maktab penting kepada jemaah kerana ia ada kaitan dengan ibadah.

Melalui kempen kebersihan ini, setiap Rabu di maktab akan diadakan majlis gotong-royong bermula dengan membersihkan bilik masing-masing, surau, lobi dan lorong laluan ke bilik.

"Semua jemaah adalah tetamu Allah dan sudah pasti sebagai tetamu, kita perlu menjaga adab terutama dari segi kebersihan.

"Melalui kempen ini juga akan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan jemaah," katanya ketika melancarkan Kempen Kebersihan Maktab di Ajyad di Makkah.

Beliau berkata, TH menggunakan konsep RAHMAH yang memiliki makna pada setiap abjad.

"Misalnya R bermakna Ramah; A (Aman); H (Harmoni); M (Mesra); A (Alami) dan H (Hormat)," katanya.

Menurutnya, jemaah mampu membuat perubahan dengan menjaga kebersihan dan meningkatkan imej Malaysia dalam kalangan jemaah negara lain.

Selain itu, Syed Saleh berkata, jika persekitaran bersih, sudah pasti jemaah juga akan sihat.

"Kebersihan ini berkaitan dengan kesihatan. Jika jaga kebersihan, kesihatan juga akan baik," katanya.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 12:31 PM