Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


PENGETUA sekolah di Jerantut rugi RM3,000 diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa dia terbabit kes dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa wanita berusia 58 tahun menerima panggilan daripada lelaki memperkenalkan diri sebagai David Tan pada 14 Julai lalu.

Katanya, lelaki itu mendakwa bekerja di bank di Seremban dan memaklumkan mangsa

mempunyai tunggakan pinjaman berjumlah RM3,885 daripada pinjaman RM70,000 yang dibuatnya.

“Mangsa menafikan membuat pinjaman berkenaan sebelum suspek meminta mangsa membuat laporan polis.

“Dia kemudian menerima panggilan telefon dari seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Hendra’ yang menyatakan perkara sama sebelum panggilan itu disambung kepada seorang lagi suspek dikenali ‘Inspektor Mazlan Majid’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban.

“Suspek mendakwa akaun mangsa terbabit aktiviti haram dan (suspek) meminta maklumat semua akaun bank miliknya selain dia perlu membayar reman RM3,000 jika tidak mahu waran tangkap ke atasnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat tiga kali transaksi pindahan wang ke nombor akaun diberikan yang berjumlah RM3,000.

Katanya, selepas pindahan wang itu, mangsa mula curiga kerana suspek masih meminta wang dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di sini, kelmarin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 11:11 AM