FOTO Hiasan
Hassan Omar
am@hmetro.com.my


PENUNTUT Kolej Vokasional Ranaco, Terengganu hilang dipercayai terjatuh ke laut kira-kira dua batu nautika dari Pantai Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat Alor Gajah, semalam.

Mangsa, Mohd Afizudin Aidzuhan, 20, yang sedang menjalani latihan praktikal selama enam bulan dengan sebuah syarikat operator pelabuhan dipercayai terjatuh ketika cuba melompat dari Kapal Bunga MAS 6 milik Akademi Laut Malaysia (ALAM) ke bot tunda TAG NUR TIGA pada 11.50 malam.

Bagaimanapun, kehilangannya hanya disedari pagi tadi apabila enam kru bot tunda itu mahu menghadiri perhimpunan pagi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka/Negeri Sembilan Komander Maritim Azman Samsudin berkata, pegawai dan kakitangan syarikat berkenaan kemudiannya melancarkan gerakan mencari penuntut terbabit mulai 7.30 pagi tetapi gagal menemui.

“Ketika kejadian, penuntut itu dan seorang lagi pelatih serta lima kru TAG NUR TIGA dipercayai menambat bot tunda itu pada kapal terbabit.

“Berdasarkan maklumat mangsa adalah penuntut tahun akhir Diploma Kejuruteraan Marin dan berasal dari Damansara, Petaling Jaya serta sudah menjalani latihan praktikal dengan syarikat itu sejak enam bulan lalu,” katanya ketika ditemui di pangkalan sementara operasi gerakan mencari dan menyelamat (SAR) di Pantai Tanjung Dahan hari ini.

Menurutnya, pihaknya yang menerima laporan daripada pihak syarikat itu kemudiannya menggerakkan sebuah bot untuk menjalankan SAR dengan dibantu Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di perairan sekitar 25 batu nautika sekeliling lokasi kejadian.

Katanya, SAR yang dijalankan bermula 5 petang tadi dihentikan sementara 7.30 malam dan akan disambung semula pada 7.30 pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 9:16 PM