BOT terbabit. FOTO Ihsan APMM
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


SIKAP tamak sekumpulan nelayan melakukan aktiviti memukat ikan di zon tidak dibenarkan mengundang padah apabila sebuah bot dinaiki mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 3.9 batu nautika dari perairan Sungai Terap, Pelabuhan Klang, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, nelayan bot Kelas B itu sedang leka mengaut hasil tangkapan tanpa menyedari mereka sedang diintip pihak berkuasa

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong dan tiga awak-awak warga tempatan berusia 45 hingga 61 tahun.

Menurutnya, bot berkenaan ditahan kerana melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan di bawah lima batu nautika dari pesisir pantai.

“Bot berkenaan ditahan bersama ikan seberat 20 kilogram dan diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menunda pukat tunda di bawah lima batu nautika,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Rosli berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sikap segelintir nelayan yang mengabaikan peraturan dan undang-undang ditetapkan.

“Pihak kami banyak menerima aduan khususnya daripada nelayan tradisional berkenaan kegiatan bot ‘tarik tepi’ ini.

“Sikap tamak segelintir pengusaha bot nelayan ini dikhuatiri menjejaskan ekosistem serta pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup hanya di kawasan perairan bawah lima batu nautika,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 11:55 AM