Sahabat Maktab pemudah cara ibadah haji. FOTO Yusri Abdul Malek
Yusri Abdul Malek
Yusrimalek@hmetro.com.my


“SAYA dan suami berniat jika kami dapat mengerjakan haji tahun ini, kami mahu berbakti kepada jemaah dengan menjadi Sahabat Maktab,” kata Faizah Hayati, 37.

Kakitangan awam yang berkhidmat di Johor Bahru itu berkata, sebelum ke Tanah Suci, dia ada terbaca dan mendengar sendiri pengalaman daripada rakan-rakan mengenai kewujudan Sahabat Maktab di setiap maktab.

“Saya dan suaminya Mohd Amiruddin Basri memang seronok dapat membantu jemaah haji yang memerlukan khidmat pembantu.

“Kami juga adalah pemudah cara kepada jemaah dalam mereka menyempurnakan ibadah haji," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Sahabat Maktab 78, 84 dan 86 di Hotel Land Permium di Makkah.

FAIZAH. FOTO Yusri Abdul Malek

Pelancaran disempurnakan Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Seorang Sahabat Maktab, Erfa Izhana Othman, 33, berkata, dia dan suami menyertai program sukarelawan ini selain untuk membantu jemaah, mereka juga mahu belajar mengenai aspek pengurusan Tabung Haji (TH).

“Ini adalah pengalaman baharu buat kami,” katanya yang berkerja sebagai ahli geologi dan menetap di Kuala Lumpur.

ERFA IZHANA. FOTO Yusri Abdul Malek

Sementara itu, Syed Saleh berkata, program sukarela itu sudah dimulakan sejak 2006 dan ditambah baik dari tahun ke tahun.

Katanya, di setiap maktab akan ada antara 35 ke 40 Sahabat Maktab yang bertindak sebagai pembantu jemaah di maktab.

Beliau berkata, Sahabat Maktab ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Sahabat Umum, Sahabat Medik dan Sahabat Ibadah.

“Sahabat Umum akan membantu menjaga keperluan jemaah di setiap maktab mereka menetap begitu ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Sahabat Medik akan membantu pasukan petugas kesihatan manakala Sahabat Ibadah akan membantu petugas pembimbing ibadah dengan menjadi imam di surau jemaah di maktab," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan yang dipilih adalah berdasarkan usia yang muda, sihat, pengalaman dalam membantu dan terbabit dalam aktiviti kemanusiaan.

“Kini terdapat 400 Sahabat Maktab yang akan membantu petugas haji. Kami hanya ada lapan petugas TH di setiap maktab. Ini sudah pasti tidak mencukupi dan dengan ada mereka ini, tugas lebih mudah," katanya.

Syed Saleh berkata, peranan Sahabat Maktab ini cukup penting dan mereka ini memiliki kelebihan iaitu dalam beribadat mereka juga membantu jemaah dan pengorbanan ini cukup mulia serta dipandang tinggi.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 8:54 AM