Anggota bomba berusaha mengeluarkan jari mangsa yang tersepit dalam mesin pengisar dalam kejadian di Tanjong Karang, semalam. Foto Ihsan JBPM
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


LELAKI terpaksa menanggung kesakitan hampir 30 minit selepas empat jari tangan kanannya tersepit dalam sebuah mesin pengisar daging di rumahnya di Tanjong Karang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 20 tahun dipercayai sedang mengisar daging menggunakan mesin terbabit sebelum tragedi malang itu berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang Penolong Penguasa Bomba Azmi Abbas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Hospital Tanjong Karang bagi mohon bantuan mengeluarkan jari mangsa terbabit.

Menurutnya, sepasukan lapan anggota bomba kemudiannya dikejarkan ke hospital berkenaan.

“Anggota bomba mengambil masa kira kira 15 minit bagi membuka mesin itu menggunakan alat khas sebelum berjaya mengeluarkan jari mangsa.

“Pasukan perubatan juga terpaksa memberikan ubat tahan sakit kepada mangsa ketika anggota bomba cuba mengeluarkan jarinya,” katanya, hari ini.

Menurutnya, jari mangsa hanya mengalami luka akibat tersepit dan menerima rawatan lanjut di hospital terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 6:03 PM