DR Wan Azizah ketika melawat tapak pameran pada majlis itu hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


KERAJAAN memperuntukkan RM7 juta kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk program saringan kanser serviks melalui kaedah ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) DNA.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sehingga kini seramai 14,875 pelanggan sudah menjalani saringan berkenaan.

“Sehingga bulan ini sejak Januari lalu, Klinik Nur Sejahtera (KNS) sudah memeriksa pelanggan berkenaan dan sekarang lebih mudah untuk membuat pemeriksaan berbanding dahulu yang lebih rumit,” katanya selepas melancarkan Kempen Saringan Kanser Serviks Percuma Etiqa Bersama Yayasan ROSE di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Dr Wan Azizah berkata, kanser serviks boleh dicegah dengan syarat ia mesti dikesan pada peringkat awal.

Katanya, malangnya 80 peratus kes kanser itu di Malaysia dikesan lewat dan menyebabkan kematian.

“Ia dapat dielakkan jika wanita menjalani ujian saringan kanser serviks secara berkala di hospital, klinik dan pusat kesihatan,” kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Etiqa menyediakan dana kepada Yayasan ROSE berjumlah RM1.2 juta untuk menyediakan program saringan percuma.

Katanya, ia menyasarkan 6,000 wanita berusia antara 30 hingga 49 tahun daripada golongan berpendapatan rendah (B40) di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 3:28 PM