Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan dakwaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu menyertai GERAKAN hanyalah khabar angin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk mengesahkan perkara itu Timbalan Presiden PKR itu sendiri patut ditanya mengenai khabar angin berkenaan.

“Itu kena tanya dia (Azmin), itu ura-ura sahaja kan,” kata beliau kepada media selepas melancarkan Kempen Saringan Kanser Serviks di Ampang, hari ini.

Beliau mengulas ura-ura Mohamed Azmin akan menyertai GERAKAN berikutan pergeserannya dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam Anwar menafikan perkara itu sebaliknya menegaskan bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu kekal bersama PKR.

Khamis lalu GERAKAN mengalu-alukan khabar gembira itu dan menyambut dengan tangan terbuka kemasukan Mohamed Azmin ke dalam parti berkenaan.

Penganalisis politik berpendapat beliau wajar menyertai Parti berbilang kaum lain sekiranya tidak boleh lagi meneruskan perjuangan bersama PKR.

GERAKAN juga pasti akan kembali ke medan politik perdana dan menyerlah kembali selepas kemerosotan prestasi yang teruk pada Pilihan Raya Umum lalu.

Pada Jun 2018, GERAKAN mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN) untuk menjadi parti bebas yang konstruktif.

Keputusan sebulat suara itu dibuat hasil mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti (CGC) selepas tewas semua kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 11:53 AM