Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


ORANG awam dan golongan berisiko tinggi secara khususnya amat digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat rawatan berkesan bagi merawat jangkitan influenza, justeru mendapatkan rawatan segera bagi gejala jangkitan yang dialami amat penting untuk mengelakkan ia bertambah serius dan menimbulkan komplikasi jangkitan tidak diingini.

Menurutnya, influenza adalah jangkitan dengan gejala utama seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Beliau berkata, demam selsema atau flu sangat mudah berjangkit, oleh itu penularan menjadi lebih mudah berlaku di tempat padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan serta kem tentera atau polis.

“Wabak disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan lain-lain.

“Komplikasi akibat jangkitan influenza teruk yang dialami oleh golongan berisiko tinggi ini juga berpotensi untuk menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, bagi mencegah penularan jangkitan influenza, Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau ‘hand sanitizer’ (pembersih tangan), mengamalkan adab batuk yang baik dan cara hidup sihat.

“Bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza dinasihatkan untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai. Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung.

“Orang awam diminta segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk atau sakit tekak berterusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 11:15 AM