LAPORAN Harian Metro, semalam.
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


“SELEPAS dimaklumkan masih ada lagi dua mangsa saya dan anggota penyelamat pantai Angkatan Pertahanan Awam (APM) terus berenang ke laut untuk menyelamatkan mereka,” kata Leftenan Komander Muhammad Rafie Pasqual Abdullah, 31.

Muhammad Rafie Pasqual antara pengunjung yang turut membantu APM menyelamatkan tiga beradik daripada lemas ketika mandi di Pantai Teluk Batik, Lumut, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, tiga beradik berkenaan iaitu Ameer Sirajuddin Jamalulail Ahmad Jamalulaid, 17, dan dua adiknya, Nur Insyirah Diniyyah, 11, serta Ahmad Kamil Mizan Jamalulail, 8, datang ke pantai berkenaan bersama keluarga untuk berkelah.

Difahamkan, ketiga-tiga beradik itu memakai pelampung ketika mandi, namun tiba-tiba mereka terlepas dari pelampung lalu dipukul ombak hingga menyebabkan mereka hampir lemas.

Menceritakan kembali kejadian itu, Muhammad Rafie Pasqual berkata, dia bersama isteri dan anak datang ke pantai berkenaan untuk berkelah dan berada berhampiran dengan keluarga mangsa serta menara penyelamat pantai APM.

“Ketika itu saya sedang bermain pasir dengan anak, tiba-tiba pekerja sewa pelampung jerit beritahu ada orang lemas sebelum pengunjung lain terus ke laut membantu kanak-kanak lelaki itu.

“Saya turut ke tempat kanak-kanak itu selepas diselamatkan dan ada jeritan lagi yang memaklumkan masih ada dua mangsa lain di laut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dua mangsa berkenaan berada di belakang pelampung dalam keadaan terkapai-kapai pada kedudukan yang agak jauh dan dalam berbanding adik mereka.

“Tanpa berlengah saya terus berenang ke laut untuk menyelamatkan mereka bersama anggota APM dan bantuan awam lain yang sudah bersedia dengan tali serta bot untuk membantu.

“Saya bersyukur mereka semua selamat cuma kanak-kanak lelaki itu nampak agak lemah sedikit kerana dia ada asma,” katanya yang memaklumkan ketika kejadian air sedang pasang.

Muhammad Rafie Pasqual berkata, sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), mereka sentiasa bersedia dan tidak kira masa atau tempat dia akan membantu mereka yang dalam sebarang masalah.

Berita berkaitan

'Terima kasih selamatkan kami'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 10:45 AM