Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


SUAMI isteri parah ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Kuang Indah, Sungai Bakap, Nibong Tebal malam tadi.

Dalam kejadian pada 11.30 malam itu, lelaki berusia 48 tahun ditetak di dada, belakang badan dan patah tangan kiri, manakala isterinya berumur 37 tahun ditetak di tangan kanan dan kiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Shafee Abd Samad berkata, pasangan terbabit sedang berjalan dari tokong menuju ke kereta mereka yang diletakkan berhampiran kawasan perumahan itu sebelum diserang.

“Tiga lelaki bersenjatakan parang tiba-tiba menyerang mereka. Mangsa cuba melarikan diri namun gagal berikutan suspek menetak tanpa belas kasihan.

“Kedua-duanya parah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya,” katanya.

Shafee berkata, pihaknya melakukan siasatan lanjut termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ada di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan dan kedua-dua mangsa mendakwa tidak tahu sebab mereka diserang.

“Usaha mengesan semua suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 10:18 AM