Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

KISAH penuntut Malaysia yang bekerja sebagai tukang cuci ketika menuntut di United Kingdom semata-mata untuk menghadiahkan tiket penerbangan kepada ibu bapanya supaya hadir ke majlis graduasinya mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda menzahirkan pujian kepada Muhammad Afiq Ismail, 23, dari Kuala Krai, Kelantan.

Seperti dilaporkan Muhammad Afiq bekerja separuh masa sehingga 20 jam seminggu dengan membahagikan masa untuk kuliah dan masa lapangnya bekerja sehingga akhirnya berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama (Kepujian) di University of Essex, UK.

Tersentuh dengan kisah hidup dan mengagumi usahanya yang bekerja keras dan dedikasi, Baginda dalam satu kenyataan kepada media, menzahirkan ucapan tahniah kepada Muhammad Afiq atas kejayaannya yang luar biasa.

“Seri Paduka juga kagum dengan sikap Afiq yang menghormati dan taat kepada ibu bapanya selain mengagumi pengorbanan anak muda itu sehingga membolehkannya mencapai kejayaan ini.

“Perjalanan hidup Afiq dan orang tuanya harus menjadi inspirasi kepada semua,” titah baginda.

Kisah Muhammad Afiq baru-baru ini dikongsi di Facebook oleh rakannya dan ia tular di media sosial.

Dilaporkan graduan perakaunan dan kewangan itu kini membuat persiapan untuk kembali ke tanah air bagi memulakan kerjaya profesional di sebuah firma audit Oktober ini.

Berita berkaitan

Hebat demo Afiq...

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 1:16 AM