Mustapha Kamil (kiri) menyampaikan APCBH & NST kepada penerima hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


SERAMAI 18 pelajar cemerlang dari seluruh negara dinobatkan penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Berita Harian dan New Straits Times (APCBH & NST) 2018 di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Bangsar hari ini.

Penganjuran program yang masuk tahun ke-11 itu menyaksikan lima penerima bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta sijil dan trofi eksklusif.

APCBH & NST 2018 turut memperkenalkan kategori baharu termasuk Personaliti Pilihan BH Didik, Minda dan Skor serta Rakan Langganan Sisipan BH/NST.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP dan Pengarah Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial Media Prima Berhad, Mustapha Kamil Mohd Janor berkata, pemilihan calon bagi anugerah itu bukan saja dinilai berdasarkan kecemerlangan akademik malah pencapaian kokurikulum yang diraih mereka.

“Proses pemilihan calon bagi kategori Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu merujuk kepada Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang juga satu transformasi dalam pendidikan.

“Usaha kerajaan melahirkan pelajar holistik sentiasa dipergiatkan bagi meningkatkan mutu pendidikan negara dan anugerah seumpama ini wajar diberikan kepada pelajar yang bukan saja berusaha cemerlang dalam akademik tetapi juga kokurikulum.

“Penganugerahan ini diharap menyuntik semangat dan mendorong penerima supaya terus meraih kecemerlangan dalam hidup selain berbekalkan sokongan penuh ibu bapa dan guru mereka,” katanya pada majlis penyampaian anugerah itu.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya; Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid; Pengurus Besar Pendidikan Vertikal NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong Lee Eu.


Antara tetamu dan penerima yang hadir pada majlis APCBH & NST hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Acara yang menawarkan hadiah berjumlah hampir RM50,000 itu diperkenalkan sejak 2007 bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang yang melanggan atau menggunakan produk pendidikan NSTP seperti sisipan Didik, Minda, Skor, School Times dan FullAMark.

Mustapha Kamil berkata, NSTP sebagai syarikat memfokuskan agenda memperkasakan pendidikan menghasilkan pelbagai produk dan program berkaitan yang dapat menjana sinergi dalam bidang itu supaya terus maju ke hadapan.

“Inisiatif ini selaras dengan hasrat anjakan kesembilan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

“NSTP turut melaksanakan pelbagai aktiviti seperti seminar pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih sejuta pelajar di seluruh negara selain memperkenalkan Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) bermula 2007,” katanya.

Sementara itu, penerima anugerah kategori SPM, Raja Aziera Syahfiqah Raja Azlan, 18, berkata, penganugerahan berkenaan menyuntik lagi semangat untuk menghabiskan pengajiannya dalam jurusan perakaunan, ekonomi dan kewangan di Kolej Yayasan Saad Business School (KYSBS) Melaka.

“Berbekalkan dorongan ibu bapa dan guru, saya mengikuti sisipan pendidikan BH sejak di bangku sekolah Tahun Empat sehingga ke Tingkatan Lima.

“Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh keputusan 8A, 1B dalam SPM dan anugerah ini diharap turut menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk memperoleh kejayaan dalam pendidikan,” kata anak ketiga daripada empat beradik dari Gombak, Selangor itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 12:59 AM