FOTO Hiasan FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KELAYAKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Malaysia masih kekal 21 tahun meskipun Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan secara bipartisan di Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Menurutnya, ini kerana pindaan itu yang memberi hak kelayakan mengundi dan menjadi calon kepada warganegara berusia 18 tahun selain pendaftaran pengundi secara automatik, hanya membabitkan kelayakan calon Ahli Dewan Rakyat.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri disarankan meminda peruntukan berkaitan had umur calon dalam perlembagaan negeri atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing supaya selaras dengan undang-undang persekutuan dan usaha bipartisan untuk memperkasa golongan muda dalam proses demokrasi.

Pada 16 Julai lalu, 211 daripada 222 ahli Dewan Rakyat mengundi pindaan itu bersamaan 95 peratus sokongan daripada jumlah keseluruhan.

Pada 25 Julai pula, 47 daripada 67 ahli Dewan Negara hadir untuk mengundi bersamaan dengan 70.14 peratus.

Untuk rekod, pindaan perlembagaan itu memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kerajaan ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Parlimen yang menyokong pindaan perlembagaan persekutuan itu,” katanya.

Liew bagaimanapun kesal apabila 20 orang ahli Dewan Negara gagal hadir dalam proses pindaan undang-undang itu.

Berita berkaitan

Dewan Negara lulus umur mengundi 18 tahun

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 11:24 PM