Khalid Latip
cnews@nstp.com.my


LELAKI yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Ulu Pakan, Sarikei dua minggu lalu ditemui selamat hari ini.

Kehilangan Bunjai Sigang, 53, disedari ahli keluarganya 11 Julai lalu apabila dia tidak kembali ke rumah selepas keluar seorang diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, mangsa ditemui penduduk kampung yang kebetulan dalam perjalanan ke kebun lada berhampiran rumah Christina Kasun, 12.30 tengah hari tadi.

“Ketika itu, keadaannya lemah, terbaring dan sempat meminta makanan kerana kelaparan dan penemuan itu dimaklumkan kepada bomba,” katanya ketika dihubungi.

Nicholas berkata, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Pakan untuk rawatan susulan.

“Keadaannya kini kembali stabil dan difahamkan mangsa bertahan hidup dengan hanya minum air sungai selama dua minggu,” katanya.

Kehilangan mangsa yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental dan gaut itu dilaporkan keluarganya ke Balai Polis Julau sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.55 pagi 11 Julai lalu sebelum gerakan SAR diaktifkan.

“Kali terakhir mangsa dilihat keluar rumah hanya berseluar pendek dan tidak berbaju.

“Gerakan SAR bagaimanapun terpaksa dihentikan 19 Julai lalu selepas mangsa gagal dikesan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 7:05 PM