Noorzainy (tiga dari kiri) menunjukkan barangan dicuri pasangan suami isteri di IPD Seberang Perai Utara, Kepala Batas. FOTO RAMDZAN MASIAM
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


BELUM sempat jual hasil barang dicuri, pasangan suami isteri dicekup polis dalam serbuan di inap desa dekat Kulim, Kedah.

Pasangan berusia 26 dan 29 tahun ditahan jam 11 pagi, semalam, oleh anggota Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada pemilik kedai emas Korea dan telefon bimbit di daerah ini, baru-baru ini.

“Bertindak hasil maklumat diperoleh, sepasukan polis menggempur inap desa disewa pasangan berkenaan.

“Dalam serbuan ini, polis menemui pelbagai barangan curi belum dijual pasangan terbabit antaranya pelbagai jenis barangan emas Korea, jam tangan, telefon bimbit, pembesar suara dan peralatan memecah masuk kedai,” katanya pada sidang media di Kepala Batas, hari ini.

Noorzainy berkata, soal siasat terhadap pasangan terbabit mengaku melakukan kegiatan pecah kedai.

“Mereka dipercayai melakukan kegiatan itu sejak dua bulan lalu dengan modus operandi memecah pintu premis perniagaan pada waktu malam.

“Kemudian hasil dicuri dibawa ke inap desa di Kulim, Kedah, sebelum mereka mencari pembeli namun proses jualan agak perlahan berikutan barangan itu kurang bernilai,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek mula menyewa inap desa itu sejak April lalu dan sering bertukar bilik untuk menyimpan barangan dicuri bagi mengelak perbuatan mereka dikesan.

Sebuah motosikal dan semua barangan curi dianggarkan bernilai sekitar RM30,000 dirampas untuk siasatan lanjut.

“Pasangan suami isteri turut mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari hingga 1 Ogos depan untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 3:06 PM