DARI kiri, Nithiananthini, Muhammad Akmal Mohd Nazri, Rossham, Arica Joyce dan guru pengiring, Yeap Chye Fhern pada Majlis Penutup Pertandingan NRC Peringkat Kuala Lumpur 2019, semalam.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


WALAUPUN bukan pelajar bidang sains dan teknologi namun tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Onn, Jalan San Peng, mampu menjuarai kategori terbuka Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) Peringkat Kuala Lumpur 2019, semalam.

Ketua pasukan, Rossham Amran, 17, berkata, dia bersama dua rakan sepasukan mengambil masa seminggu untuk mereka bentuk robot dinamakan sebagai b-bot yang mempunyai keupayaan untuk mengesan kadar suhu, kelembapan selain dapat menghantar isyarat kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kemalangan.

Menurutnya, b-bot hanya mengambil masa sehari untuk diprogramkan bagi membolehkan sensor yang dipasang berfungsi mengikut spesifikasi yang ditetapkan hasil gabungan idea bersama dua rakan dan mentor pasukan itu yang juga guru pengiring.

“Tema pertandingan tahun ini adalah bandar pintar dan pasukan kami mahu menampilkan rekaan robot yang mempunyai kebolehan tersendiri sesuai untuk diaplikasikan mengikut keperluan semasa.

“Robot kami menggabungkan keupayaan Internet of Things atau IoT supaya ia dapat menghantar isyarat mengikut sensor yang ditetapkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan pengguna,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah NRC 2019 Peringkat Kuala Lumpur di SMK Taman Connaught, semalam.

Dalam pertandingan itu, sebanyak 25 sekolah menengah dan 30 sekolah rendah di Kuala Lumpur mengambil bahagian dan juara untuk semua kategori akan menjadi wakil dalam pertandingan peringkat kebangsaan di Kedah September depan.

Pertandingan Robotik Kebangsaan dianjurkan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama syarikat penyedia solusi pendidikan Sasbadi Holdings Berhad sejak 2005 sebagai platform untuk mempromosikan Sains, Teknologi, Pembacaan, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM) dalam kalangan pelajar.

Kata Rossham, rekaan b-bot mampu memberi dimensi baharu kepada bidang robotik sesuai untuk keperluan terkini masyarakat yang semakin cenderung menggunakan sains dan teknologi dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, mentor pasukan dan guru pengiring, K Nithiananthini berkata, pasukan sekolah berkenaan memenangi kategori terbuka dalam pertandingan berkenaan untuk kali kelima berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 6:10 AM