PESAWAT tempur milik TUDM bersedia untuk beraksi. FOTO IHSAN TUDM
ANTARA pesawat TUDM yang digunakan untuk latihan selama 19 hari di Sabah. FOTO IHSAN TUDM
BERNAMA

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Latihan Tembakan Misil Udara ke Udara dan Tembakan Udara Ke Bumi di Lapang Sasar Udara Kota Belud bermula Selasa lalu sehingga 10 Ogos ini.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan, hari ini, berkata latihan selama 19 hari itu membabitkan ruang udara Sabah dan perairan sekitarnya.

“Antara pesawat digunakan termasuk pesawat pejuang jenis Sukhoi SU-30MKM dan F/A-18D Hornet.

“Pesawat B200T dari No 16 Skuadron akan melaksanakan ‘range clearance’ sementara pesawat A400M dan C130H pula berfungsi sebagai ‘transup’ manakala ‘Air to Air Refuelling’ menggunakan pesawat A400M sepenuhnya,” katanya.

Katanya, latihan kali ini juga turut membabitkan bantuan daripada kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang membantu melaksanakan ‘Surface Clearance’ bagi memastikan kawasan tembakan selamat untuk beroperasi.

Menurutnya, latihan itu bertujuan menguji kecekapan dan keupayaan juruterbang pesawat pejuang TUDM dalam mengendalikan pesawat dan melancarkan pelbagai persenjataan tepat ke sasaran.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan kesiagaan aset dan persenjataan TUDM sentiasa berada pada tahap terbaik khususnya dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat TUDM terbang rendah dan mendengar bunyi letupan di beberapa kawasan sekitar ruang udara Sabah dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 10:13 PM