Pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini. FOTO Danial Saad
BERNAMA

SELEPAS 10 hari Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Rakyat, ia diluluskan di Dewan Negara hari ini dengan majoriti dua per tiga.

Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.

Pindaan berkenaan memperoleh sokongan 47 daripada 68 ahli Dewan Negara iaitu melebihi dua pertiga undian majoriti yang diperlukan, selepas 24 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika membentangkan RUU itu berkata, pindaan itu selaras dengan amalan demokrasi dunia yang mana banyak negara maju seperti United Kingdom dan Jerman menurunkan had usia mengundi kepada 18 tahun.

“Berikutan perkembangan ini, maka belia di Malaysia terdorong untuk turut diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun, langkah ini bertujuan memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya,” katanya.

Liew ketika menggulung perbahasan usul itu bagaimanapun berkata, pelaksanaan tindakan itu memerlukan perancangan komprehensif yang menuntut komitmen pelbagai agensi kerajaan, swasta, parti politik, dan badan bukan kerajaan untuk menyumbang idea dalam merangka polisi dan program yang menyokong pelan tindakan itu.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga akan membuat program libat urus secara berterusan dalam memastikan golongan sasaran mendapat pendedahan dan memahami sistem demokrasi negara serta kepentingan menunaikan tanggungjawab mengundi.

Beliau turut memberi komitmen untuk mengkaji sistem undi secara dalam talian (e-voting) yang dicadangkan beberapa senator bagi memudahkan sistem pengundian berikutan pertambahan pengundi susulan pindaan itu.

Pada sidang media selepas itu Liew berkata, pindaan itu menjadi perkara signifikan dalam landskap politik negara dan melahirkan penghargaan kepada semua 47 senator yang mengundi meskipun kesal kerana 20 senator tidak hadir ketika mengundi.

Untuk tindakan lanjut selepas ini, Liew berkata, kerajaan akan membentangkan pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 di Dewan Rakyat, Oktober ini.

“Jadi pening kepala mula dirasai oleh SPR, kita akan mula berusaha bagi memastikan semua mekanisme (berada dalam trek yang betul), memastikan pilihan raya bersih dan adil dilaksanakan bagi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Persidangan bersambung Isnin hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 8:32 PM