Nelayan Vietnam yang dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM2.58 juta hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


LAPAN belas nelayan Vietnam termasuk dua tekong dijatuhi hukuman denda RM2.58 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah menangkap ikan menggunakan pukat tunda dua bot dan membuang pukat ke laut bagi menghapuskan bukti.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas semua tertuduh yang berusia antara 21 hingga 54 tahun itu didapati bersalah atas dua pertuduhan. mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 29 Akta Perikanan 1985 (akta 317).

Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317), Azman menjatuhkan hukuman denda RM700,000 terhadap tekong manakala 12 awak-awak didenda RM60,000 manakala tekong dan nelayan sama turut didenda RM100,000 bagi pertuduhan kedua iaitu kerana membuang pukat ke laut bagi menghapuskan bukti.

Bagi pertuduhan ketiga iaitu menggunakan pukat tunda, seorang lagi tekong didenda RM700,000 manakala empat awak-awaknya pula didenda RM60,000.

Mahkamah turut mengarahkan dua tekong masing-masing berusia 42 dan 47 tahun dipenjara tiga tahun manakala hukuman penjara setahun bagi 16 awak-awak jika mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan semua barang kes yang disita dalam ketiga-tiga kes termasuk dua vesel penangkapan ikan asing dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan pertama dan ketiga, semua tertuduh didakwa menangkap ikan secara bersama menggunakan pukat tunda dua bot manakala bagi pertuduhan kedua, 13 daripada mereka didakwa membuang pukat ke laut bagi menghapuskan bukti.

Semua kesalahan itu dilakukan di perairan perikanan Malaysia pada jarak antara 72 hingga 79 batu nautika dari Kuala Terengganu antara 7.05 hingga 8 pagi pada 19 Mei 2018.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala semua tertuduh diwakili Mohd Suhaimi Ismail, Muhammad Syahri Adnan dan Muhammad Fitri Mokhtar.

Sebelum ini, kehadiran mereka di lokasi dikesan kapal APMM yang sedang membuat rondaan selepas disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding.

Sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, dua bot berkenaan cuba melarikan diri dengan salah sebuah daripadanya bertindak melepaskan tali pukat di dalam air bagi menghapuskan bukti.

Hasil pemeriksaan, anggota turut menemui pukat dan ikan di atas geladak bot berkenaan sebelum mereka dibawa balik ke jeti APMM Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

Berdasarkan rekod, jumlah keseluruhan denda yang dikenakan hari ini adalah paling tinggi membabitkan kesalahan nelayan asing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 7:14 PM