GAMBAR hiasan
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


LELAKI berusia 26 tahun sanggup mencederakan diri kononnya disamun sebelum membuat laporan palsu kelmarin.

Bagaimanapun tindakan lelaki itu yang juga ejen mata wang bitcoin terbongkar apabila polis mendapati dia berbuat demikian selepas melarikan wang RM100,000 yang diberikan pembelinya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson selepas mendakwa disamun dua lelaki ketika dalam perjalanan ke Kampung Paya dekat sini.

“Dia mendakwa menunggang motosikal dan dihimpit dua lelaki tidak dikenali.

“Suspek menoreh bahu kanannya sebelum melarikan wang tunai RM100,000 dan telefon bimbit miliknya.

“Selepas kejadian itu, dia mendapatkan rawatan di Hospital Port Dickson (HPD) dan menerima 25 jahitan,” katanya pada sidang media di IPD Port Dickson hari ini.

Aidi Sham berkata, polis yang menjalankan siasatan mendapati ada keraguan dalam keterangan yang diberikan lelaki itu.

Katanya, polis kemudian menahan lelaki itu di rumahnya di sini pada 3.15 petang hari sama.

“Hasil siasatan mendapati lelaki itu mereka cerita kerana dia mahu menggunakan wang diberikan pelabur untuk melangsaikan hutang.

“Dia menyembunyikan wang itu dalam semak di Taman Pinggiran Senawang, Seremban,” katanya.

Katanya, lelaki itu kini direman enam hari bermula semalam sehingga 29 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, Aidi Sham berkata, wanita warga emas kerugian RM45,000 selepas diperdaya sindiket ‘love scam’ melalui laman sosial Facebook, 19 Julai lalu.

Beliau berkata, mangsa berusia 53 tahun mendakwa suspek menawarkan pelaburan saham dengan keuntungan dua kali ganda menyebabkan mangsa terpedaya dan membuat tiga kali transaksi pembayaran.

Bagaimanapun katanya, mangsa menyedari ditipu selepas suspek memintanya memasukkan wang RM70,000 ke akaun sama sebelum dia membuat laporan polis semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:42 PM