CHE Mohd Azlan mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


SEORANG nelayan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun di Mahkamah Majistret Besut di Jertih, hari ini kerana menikam bekas isterinya menggunakan pemutar skru kerana bengang wanita terbabit menolak permintaannya untuk rujuk semula.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat membuat keputusan itu selepas tertuduh, Che Mohd Azlan Muda, 31, dari Kuala Besut mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Hidayah Ismail, 28, di sebuah kedai makan di Pantai Air Tawar, di Jertih, 4 petang semalam.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izzaida Ibrahim.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berada di bilik solat di kedai makan didatangi tertuduh yang memintanya untuk rujuk semula dan kembali kepadanya.

Tertuduh yang tidak berpuas hati kerana mangsa tidak mahu bersamanya mengeluarkan pemutar skru lalu menikam muka mangsa.

Mangsa menutup mukanya menggunakan kedua-dua tangan namun tertuduh bertindak menarik rambut mangsa dan menikam muka mangsa bertubi-tubi.

Akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami luka di bahagian bawah mata kanan, luka di tangan kanan dan kiri, selain di kening kiri itu dihantar orang awam ke Hospital Besut untuk rawatan.

Portal Harian Metro turut melaporkan laporan membabitkan insiden antara lelaki dan wanita itu, semalam.

Berita berkaitan

Tikam muka bekas isteri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 5:11 PM