Siti Sofia Md Nasir
siti.sofia@bh.com.my


ENAM penguat kuasa JPJ Pulau Pinang, termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth, atas 40 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM20,050 antara 2015 hingga 2018.

Semua tertuduh yang turut berdepan 40 pertuduhan pilihan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Penguat kuasa JPJ Pulau Pinang itu ialah Muhammad Rozaidi Azmi, 36; Khairol Azri Abd Rahman, 32; Mohd Ependi Hassan, 33; Saidatul Hanim Sabudin, 33; Mohamad Noor Ibrahim, 44, dan V Chandrasegeran, 49.

Pada prosiding hari ini, Muhammad Rozaidi berdepan 10 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan rasuah bernilai RM7,100, manakala Khairol Azri (lapan pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM4,350), dan Mohd Ependi (enam pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM850.

Sementara itu, Saidatul Hanim berdepan sembilan pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah suapan RM2,350; Mohamad Noor (enam pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM4,200), dan Chandrasegeran hanya satu pertuduhan utama dan pilihan dengan nilai suapan RM1,200.

Semua tertuduh adalah Penolong Pegawai Penguat kuasa dan Pembantu Penguat kuasa dengan gred 19 hingga 29, yang bertugas di JPJ Seberang Jaya dan di Batu Uban, Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan utama, semua tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka wang tunai daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport & Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd, Ooi Cheng Keat, 46, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat terbabit (Sam Lian Transport & Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd) yang mungkin melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pelbagai bank di Bukit Mertajam di sini, antara Mac 2015 sehingga Julai 2018.

Semua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, semua tertuduh didakwa memperolehi untuk diri mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan berupa wang tunai daripada Cheng Keat bagi tujuan membabitkan penguatkuasaan di bawah APJ 1987 terhadap lori milik syarikat terbabit.

Untuk pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh, kecuali Chandrasegeran, diwakili peguam Datuk Naran Singh, manakala Chandrasegeran yang kini digantung tugas sejak April lalu, tidak diwakili peguam.

Nizam kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada lima tertuduh, dan RM8,000 kepada Chandrasegeran, dengan syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri dan akan disebut semula pada 12 September hadapan.

Enam tertuduh yang didakwa hari ini adalah sebahagian daripada 18 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang didakwa secara berperingkat bermula semalam.

Semalam, lima penguat kuasa JPJ Gred 19 hingga 29 dan seorang bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth atas 63 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM73,600 daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Mei lalu, lapan penguat kuasa JPJ dan seorang bekas anggota SPAD dihadapkan ke mahkamah sama, atas pertuduhan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 12:13 PM
ANGGOTA penguatkuasa JPJ dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth. FOTO Mikail Ong