DUA individu dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah rumah dekat Jalan Melati 21, Taman Desa Melati, Nilai. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


POLIS menemui kesan tikaman dan kelar pada bahagian badan dan tangan suami isteri yang dipercayai dibunuh sebelum rumah mereka dibakar di Taman Desa Melati, Nilai, malam tadi.

Mayat Tan Kim Joo, 73, ditemui di bahagian dapur rumah dengan kesan kelar di tangan kiri dan lengan selain luka di dahi manakala isterinya Ng Chong Hwa, 67, ditemui di dalam bilik dengan kesan tikaman di dada serta kelar di lengan kiri.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada bomba yang ke lokasi sejurus menerima panggilan kebakaran di rumah berkenaan.

"Pemeriksaan polis di lokasi mendapati mayat lelaki ditemui tertiarap di atas lantai bahagian dapur manakala mayat wanita ditemui tersandar pada almari di dalam bilik yang dijadikan stor.

"Terdapat kesan luka kelar dan tikaman pada kedua-dua mangsa. Kita mengesyaki terdapat unsur jenayah dalam kejadian itu," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Menurut Mohamad, mangsa lelaki adalah pesara jurutera manakala wanita pesara guru dan mereka menetap di rumah berkenaan sejak 10 tahun lalu.

"Hasil siasatan di lokasi, kita tidak menolak kemungkinan suspek memasuki rumah mangsa melalui pintu belakang kerana pintu depan masih berkunci," katanya.

Ditanya sama ada kejadian itu bermotifkan samun, beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti ada barang berharga hilang atau sebaliknya kerana rumah berkenaan sudah terbakar.

Katanya, polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, mayat suami isteri yang dipercayai dibunuh di rumah mereka di Taman Desa Melati, Nilai ditemui di bahagian dapur dan bilik belakang dalam keadaan berlumuran darah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 11:25 AM