Farhash Wafa (tengah) dikehendaki memberi penjelasan berhubung kenyataan terbukanya terhadap Mohamed Azmin. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


LEMBAGA Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mendapatkan penjelasan Pengerusi PKR Perak berhubung kenyataan terbuka yang dibuat terhadap Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata,

ketetapan itu dibuat Biro Politik PKR terhadap Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam mesyuarat hari ini.

Menurutnya, selain Farhash Wafa, beberapa ahli parti juga akan dipanggil memberikan penjelasan berhubung isu video intim dikaitkan dengan Mohamed Azmin.

“Biro Politik sudah bermesyuarat dan Lembaga Disiplin akan menghubungi Farhash serta beberapa individu lain untuk dapatkan penjelasan lanjut.

“Lembaga Disiplin juga sudah dimaklumkan oleh kepemimpinan dan saya percaya mereka akan dihubungi mengenai kenyataan yang dibuat (kenyataan terbuka terhadap Mohamed Azmin),” katanya ditemui di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya malam ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebaik dibebaskan daripada tahanan reman semalam, Farhash Wafa yang juga Setiausaha Politik Anwar mengeluarkan kenyataan terbuka terhadap Mohamed Azmin selain menggesa Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador menahan Timbalan Presiden PKR itu.

Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata, Anwar menerima sokongan 80 peratus daripada Ketua Cabang parti itu dari seluruh negara.

Katanya, ia dibuat berdasarkan resolusi yang dikeluarkan ketika Program Pemukiman PKR di Port Dickson, minggu lalu.

“Ketua Cabang dan kepemimpinan yang tidak hadir pada program pemukiman akan diberikan resolusi sokongan itu untuk ditandatangani,” katanya.

Berita berkaitan

'Itu kerja polislah' - Zuraida

'Itu hak pegawai penyiasat' - KPN [METROTV]

Pengerusi PKR negeri direman kes video lucah

Isu Video: Haziq, Pengerusi PKR dibebaskan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 10:49 PM