Penagih dadah yang ditahan dalam Ops Sarang di Bagan Serai hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


PENAGIH dadah meracau sebaik dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian selepas ditahan dalam Ops Sarang di Kampung Selamat, Semanggol di Bagan Serai hari ini.

Lelaki berusia 30-an itu dilihat berbahasa Siam dan membaca ayat al-Quran serta berkelakuan pelik dipercayai kesan pengambilan dadah.

Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kerian bermula 5 pagi hingga 2 petang itu turut menahan 43 penagih lain yang berusia antara 25 hingga 60 tahun.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, semua suspek terbabit diberkas di kawasan bukit berhampiran sebuah sekolah agama yang dijadikan sarang penagihan dadah sejak seminggu lalu.

“Polis turut menahan seorang suspek dipercayai pengedar dadah dan menemui 8.16 gram heroin, 2.4 gram syabu serta peralatan menghisap dadah.

“Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM2,000,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, siasatan pihaknya mendapati kawasan terbabit baru dijadikan lokasi pengedaran dan menghisap dadah yang pada satu-satu masa mengumpulkan lebih 50 penagih.

“Semua yang ditahan kini ditempatkan di lokap IPD Kerian dan proses permohonan reman akan dibuat esok.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39A(2),12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:59 PM