Gambar Hiasan
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


SIMPAN kerana hobi selain ugutan kepada mangsa untuk terus menghantar gambar serta video jika tidak mahu ia tular.

Itu pengakuan lelaki gila seks yang ditahan polis selepas didapati menyimpan video serta imej pornografi kanak-kanak serta remaja perempuan.

Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sebuah rumah dua tingkat di Sungai Dua, Butterworth semalam.

Dalam serbuan 12 tengah malam itu, lelaki berkenaan ditahan dalam bilik tidurnya di tingkat atas rumah dan hasil pemeriksaan polis menemui video serta gambar lucah kanak-kanak dalam dua telefon bimbit serta komputer riba miliknya.

Sumber berkata, ketika serbuan lelaki itu hanya seorang diri berada dalam bilik tidur dan siasatan awal dia mengaku menyimpan semua gambar serta video porno kanak-kanak itu sejak dua tahun lalu.

“Lelaki itu memberitahu dia menyimpan semua koleksi itu kerana hobi dan suka melihat imej serta video porno kanak-kanak.

“Selain itu, dia turut mendakwa menyimpan video dan gambar berkenaan kerana mahu mengugut mangsa supaya terus menghantar koleksi baru jika tidak mahu aksi lucah mereka ditularkan,” katanya.

Menurut sumber, lelaki itu juga mengaku menyimpan dua gambar porno budak perempuan warga Taiwan dalam telefon bimbitnya serta video yang dimuat naik daripada Internet.

“Hasil pemeriksaan dalam telefon bimbit dan komputer ribanya, kita menemui pelbagai gambar dan video berunsur pornografi membabitkan budak dan remaja perempuan berusia 10 hingga 15 tahun.

“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 10 Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak dan kita turut merampas dua telefon bimbit serta komputer riba yang dihantar ke unit forensik untuk dianalisa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 5:49 PM