MUHAMMAD Firdaous yang juga warga Singapura mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan. FOTO Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


PENGETUA sebuah madrasah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh Melaka, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 15 tahun sejak tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 36, yang juga warga Singapura mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun bagi maksud seksual.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah kondominium di Klebang pada 13 dan 28 Julai tahun lalu dan di sebuah rumah di madrasah berkenaan di Tanjung Minyak pada 18 Januari lalu.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Wai Yee tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 diberikan bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh diwakili peguam Norfazlinda Alimad dan Faiezad Razali merayu kepada mahkamah agar jumlah jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan lima anak serta mempunyai masalah sakit tulang belakang.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua penjamin tempatan dan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran, selain pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Elesabet turut menetapkan 28 Ogos depan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 3:57 PM