LELAKI berusia 23 tahun ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah di pangsapuri di Juru, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan Polis
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


GUNA alasan mengejutkan sepupu bangun tidur, sebaliknya mahu memecah masuk rumah.

Itu taktik digunakan seorang lelaki yang dikesan memecah masuk dan mencuri barang dalam sebuah rumah di pangsapuri di Juru, Bukit Mertajam, kelmarin.

Dalam kejadian 9.45 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun berkenaan memecah masuk rumah wanita berusia 28 tahun yang juga pelatih di sebuah kilang, namun disedari jiran wanita itu.

Jiran terbabit yang pelik dengan kelakuan lelaki itu kerana dia berada dalam kawasan pintu pagar rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, jiran mangsa kemudian menyoal suspek, namun lelaki itu mendakwa dia mahu mengejutkan sepupunya yang sedang tidur dalam rumah.

“Jiran itu kemudian beredar kerana mempercayai kata suspek, namun lelaki terbabit sebenarnya memecah masuk dan mencuri sebentuk cincin suasa dan kunci kereta mangsa yang disimpan dalam bilik tidur.

“Bagaimanapun, mangsa yang pulang kemudian mendapati pintu pagar rumahnya rosak dan dia kemudian turut diberitahu jiran yang mendakwa melihat sepupunya berada dalam kawasan rumahnya itu,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, jirannya itu juga mendakwa yang dia pernah melihat ‘sepupu’ mangsa yang tinggal di blok sama pangsapuri terbabit dan wanita berkenaan terkejut kerana dia tidak mempunyai sepupu yang tinggal di kawasan itu.

“Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis dan polis berjaya menahan suspek yang tinggal di kawasan sama bersama dua lagi rakannya iaitu lelaki berusia 24 tahun dan remaja perempuan berusia 19 tahun.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku melakukan tujuh kes pecah rumah di kawasan pangsapuri berkenaan, manakala dua lagi rakannya mendakwa hanya menyewa di rumah suspek,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai peralatan pecah rumah serta barang yang dicuri antaranya kamera digital, pemain cakera padat digital dan tiga telefon bimbit pelbagai jenama.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 3:18 PM