Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


SAYU dan sebak. Itu yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika mencemar duli menziarahi keluarga mangsa kebakaran di Sungai Isap 2 di Kuantan, hari ini.

Baginda yang berangkat bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyifatkan kejadian itu sebagai malang dan menyedihkan.

Keberangkatan baginda itu mencerminkan keprihatinannya terhadap mangsa bencana yang ditimpa musibah dengan meluangkan masa walaupun sibuk dengan program harian rasmi termasuk acara dan mesyuarat berkaitan dengan istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 dan 31 Julai ini,

“Ia satu kejadian amat malang pada hemat saya kerana tiga mangsa terkorban...saya hendak cakap pun sedih, pilu.

“Saya berharap mangsa yang terbabit dapat bersabar, ini semua adalah ketentuan Allah,” titahnya.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Hamdan Wahid.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan semua pemilik kediaman terutamanya di kawasan Perkampungan Sungai Isap 2 memeriksa sistem pendawaian rumah masing-masing bagi mengelak insiden tidak diingini.

Titahnya, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada kejadian itu dan seharusnya memandang serius tahap keselamatan kediaman mereka.

“Jangan ambil remeh perkara seperti ini (masalah pendawaian) kerana ia boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

“Saya berharap kejadian seperti ini tidak lagi berulang dan jadikan insiden hujung minggu lalu sebagai (kejadian) yang terakhir di kawasan ini,” titahnya.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan antaranya daripada Insurans Takaful, Pejabat Menteri Besar Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan sumbangan peribadi baginda.

Sementara itu, Hamdan berkata, siasatan yang dijalankan Unit Forensik JBPM mendapati kebakaran pada pagi Ahad lalu itu berpunca daripada motor kipas meja yang mengalami kerosakan hingga menyebabkan berlaku litar pintas.

“Hasil bedah siasat terhadap tiga mangsa yang maut dalam kejadian itu mendapati punca kematian adalah kecederaan akibat kesan terbakar dan tidak ada sebarang unsur jenayah dikesan,” katanya.

Dalam kejadian itu, Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, bersama dua anaknya, Muhamad Haikal Hakimi Hairol, 11, dan Muhamad Adam Daniel, 7, ditemui rentung dalam dua bilik berasingan.

Lima lagi ahli keluarga mereka berjaya menyelamatkan diri tetapi tiga daripadanya melecur.


Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah bertemu dengan mangsa yang terselamat dalam kebakaran di Perkampungan Sungai Isap 2, Kuantan, hari ini. Foto Muhd Asyraf Sawal

Berita berkaitan

Tiga beranak maut

'Mak kejut, angkat saya lari'

[UPDATE] Identiti 3 beranak dikenal pasti [METRO TV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 1:30 PM