Muhammad Norfareez Haikal yang dilahirkan pada 13 September menghidap kanser extracranial ewing’s sarcoma.
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


“TERIMA kasih semua,” kata pesakit kanser extracranial ewing’s sarcoma, Muhammad Norfareez Haikal Mohd Norhisyam, 9, sejurus menerima kejutan pada sambutan hari lahirnya di pantai Batu Ferringhi di sini, semalam.

Sambutan berkenaan diadakan bagi menunaikan hasrat Muhammad Norfareez Haikal berikutan penyakitnya sukar dirawat.

Ibunya, Norazimah Mohd Zain, 36, dari Tanjung Tokong berkata, kejutan itu dirancang Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan) bagi meraikan hari jadi anak sulungnya pada 13 September depan.

Katanya, sambutan itu diadakan lebih awal berikutan kesihatan Muhammad Norfareez Haikal yang semakin membimbangkan kerana sel kanser mula merebak ke tulang belakang.

“Muhammad Norfareez Haikal tahu hayatnya tidak lama, saya sekeluarga juga reda dengan ujian ini dan mahu semua permintaannya ditunaikan supaya dia gembira serta terus kuat.


Muhammad Norfareez Haikal gembira meraikan hari jadi bersama keluarganya.

“Saya hanya beritahu hendak bawa dia bersiar-siar di tepi pantai, malah saya juga tidak sangka sambutannya amat meriah dan ini jadi kenangan kami sepanjang hayat,” katanya.

Turut hadir, suami Norazimah, Mohd Norhisyam Ridzuan, 32, dan tiga anak mereka Muhammad Norfaeez Irfan, 8, Puteri Norfarisha, 6 dan Norfatini, 17 bulan.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Tokong itu dikesan menghidap kanser pada 2017 selepas kerap demam.

Berikutan masalah itu, Muhammad Norfareez Haikal sering tidak ke sekolah kerana menjalani rawatan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara, Maznah Tayib berkata, kejutan berkenaan dirancang sejak dua minggu lalu.

Katanya majlis itu turut dijayakan dengan kerjasama Universal Peace Federation (UPF) membabitkan enam pelajar daripada National Chung Hsing University, Taiwan dan masing-masing dua dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor.

Maznah berkata, selain menyambut hari lahir, Muhammad Norfareez Haikal juga teringin berkunjung ke Taman Tema Legoland, Johor namun tidak dapat berbuat demikian berikutan perlu menjalani kimoterapi.

“Kami cuba tunaikan hasrat kanak-kanak pesakit kanser bagi menggembirakan dan memberi sokongan kepada mereka selain memupuk semangat juang melawan penyakit ini.

“Difahamkan, Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Ladang Lada sudi menaja kanak-kanak ini ke Legoland dan perjalanan mereka diuruskan secepat mungkin,” katanya.

Bagi yang ingin menyumbang boleh salurkan ke akaun Maybank Norazimah bernombor 157148270454.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:50 AM