DARI kiri, Ketua Pegawai Kewangan Hanson Ribotics, Eddie Lee, Ketua Pegawai Eksekutif, Jeannnie Lim Sophia, Ketua Pegawai Kewangan CGPV, Shaw Luo dan Pengurus Besar Pembangunan Industry CGPV, Lenka Zhang bergambar bersama Sophia robot humanoid sosial yang dihasilkan syarikat Hanson Robotics di Forest City.
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


ROBOT humanoid sosial diberi nama Sophia yang dihasilkan syarikat Hanson Robotics berpangkalan di Hong Kong mengadakan lawatan rasminya ke Forest City, di sini, semalam.

Lawatan itu seiring dengan pencapaian Sistem Inovatif Pintar dibangunkan Country Garden Pacificview (CGPV) Sdn Bhd di Forest City, sekali gus mendapat pengiktirafan apabila merangkul Anugerah Bandar Pintar Asia Pasifik (SCAPA) Perbadanan Data Antarabangsa (IDC) kelima, dekat sini.

Menerusi sesi soal jawab antara Sophia bersama wakil Forest City, Sophia menyatakan hasratnya untuk tinggal di bandar pintar yang mana teknologi memainkan peranan penting menjadikan kehidupan penduduk lebih mudah dan selamat.

Katanya, Forest City boleh menggunakan ejen maya atau robot untuk membantu menerusi perkhidmatan pelanggan, selain menjaga orang sakit dan warga tua serta menjalankan proses pembelajaran direka khas untuk pelajar.

“Saya ingin bercakap dengan Pengasas dan Pengerusi Country Garden Group, Yang Guoqiang, bagaimana robot AI seperti saya boleh menjadikan sesebuah bandar lebih pintar dan lebih menyeronokkan.

“Saya tahu Forest City berusia tiga tahun dan sehingga kini 2.64 kilometer tanah sudah ditebus semula dengan kawasan yang dibina seluas 1.69 juta meter persegi manakala 2.04 juta meter persegi lagi dalam fasa pembinaan.

“Jadi, anda semua sedang meletakkan Forest City di atas peta!” kata Sophia ketika ditemui di Galeri Jualan Forest City, semalam.

Forest City dan syarikat Hanson Robotics meneroka peluang bagi menjalinkan kerjasama pada masa akan datang.

Memandangkan sebahagian besar unit kediaman di Pulau Satu sudah didiami, Forest City menyasarkan pembinaan komponen industri sebagai sebahagian daripada sasaran cetakan biru (blueprint) industri integrasi 2020 yang turut memberi tumpuan kepada bidang robotik dan kecerdasan buatan (AI).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:30 AM